tSoS

tSoS

Wednesday, November 19, 2014

Menjadi Ateis: Satu Langkah Menuju Kebenaran

Pengalaman aku pergi ke masjid, kuil dan tokong yang berlainan fahaman dan agama telah mengajar aku banyak perkara. Walaupun berlainan fahaman, tetapi dalam kepelbagaian itu terlalu banyak persamaan antara mereka. Agama telah wujud sejak sekian lama. Bermula dari mitos-mitos dan cerita kayangan yang bagi aku, mengkhayalkan. Di sini aku bersependapat dengan Karl Marx yang menyatakan agama itu candu. Manusia lebih mudah menerima cerita-cerita magis kerana dengan bahasa yang puitis itu kita menjadi terpesona akan keindahan cerita itu. Kita dihidangkan dengan cerita indah-indah dari langit yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan kitaran hidup kita.

Majoriti masyarakat memerlukan sebuah angan-angan, harapan, impian, atau dengan kata lain "Tuhan" untuk melupakan kehidupan yang penuh dengan kesengsaraan ini. Penat lelah mencari makan, perit-getir dalam menjalani hidup di adukan pada Tuhan untuk melepaskan segala penat lelah. Perasaan risau gundah gulana akan musibah yang ditakuti menimpa suatu hari nanti di redakan dengan sikap kebergantungan pada tuhan yang berada di kuil-kuil, di tokong-tokong atau di masjid. Manusia jadi bergantung pada entiti yang lebih besar, yang tidak terjangkau oleh akal logiknya untuk meredakan keresahan dalam menjalani kehidupan seharian. 

Atas dasar iman ini juga manusia menjadi takut untuk berbuat dosa kerana risau dengan kejahatan yang dilakukan akan menjauhkan dirinya dengan Tuhan. Ini adalah kekuatan dan aspek postif dalam agama yang tidak dapat ditandingi oleh ideologi yang lain. Sesetengah manusia memerlukan kepercayaan pada syurga dan neraka untuk menghalang mereka dari berbuat jahat. Seolah-olah jika ditarik kepercayaan ini, mereka bertukar menjadi binatang yang bebas berbuat apa pun. 

Tapi zaman berlalu, manusia sentiasa berkembang dan pemikiran mereka berevolusi seiring dengan  kemajuan lahiriah. Sebagai contoh negara maju seperti Sweden, majoriti penduduknya tidak beragama. Negara scandanivian itu sangat prihatin terhadap hak-hak kemanusian. Mereka sangat mengambil berat akan hak-hak asasi seperti perubatan, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.  Mereka tidak memerlukan panduan agama untuk menentukan apa yang baik dan adil untuk menjamin kesejahteraan sejagat. Berbanding dengan negara mundur, kebanyakannya dikuasai dan dipelopori oleh institusi agama. Tapi itu tidak membuatkan negara itu menjadi lebih maju tetapi menjadi sebaliknya.  Jadi ini menimbulkan persoalan, adakah kemajuan peradaban manusia menidakkan kebenaran agama itu sendiri? Adakah agama membantutkan pemikiran manusia? 

Golongan bijak pandai, yang mampu berfikir secara kritis dan rasional cenderung untuk menjadi ateis. Keberadaan Tuhan itu tidak dapat ditampilkan dengan bukti yang kukuh. Ketidakpercayaan pada tuhan ini membebaskan mereka dari pemikiran yang menyekat dan membelenggu dalam kehidupan seharian. Doktrin agama adalah umpama penjara minda yang menyekat manusia untuk berfikir lebih jauh lagi. Sebagai bukti, agama kristian pada waktu dahulu banyak menyekat saintis-saintis pada waktu itu kerana penemuan saintifik itu boleh menggugat doktrin agama itu sendiri. Penemuan dan eksplorasi yang baharu itu bisa menidakkan kitab-kitab yang diimani institusi agama itu dengan bukti sainstifik yang lebih rasional. 

Manusia itu adalah pengembara yang bisa mengeksplorasi dunia dengan sifat ingin tahu yang wujud sejak azali.. Jadi syabas diucapkan pada mereka yang bisa memecahkan doktrin agama yang menyekat mereka untuk berfikir lebih jauh lagi. Tetapi adakah pembebasan dari cengkaman agama itu membuat kamu menjadi manusia yang lebih berguna? Adakah kamu bisa mencapai ketenangan dalam hidup? Jika tiada Tuhan, jadi hidup ini untuk apa? 

Aku tak percaya pada preaching dan bagi aku manusia boleh percaya apa pun yang mereka mahu. Tapi sekuat mana pun kepercayaan kamu, itu tidak menjadikan sesuatu itu benar. Kebenaran adalah sesuatu yang sangat personal dan perlu di gali, dirasai sendiri. Tetapi tidak bermakna kebenaran itu sesuatu yang relatif, melainkan ia merupakan sesuatu yang sangat universal dan kita semua berkongsi kebenaran yang sama. 

--Akan bersambung--


Sunday, November 9, 2014

Ritual yang mengeraskan hati, membekukan jiwa

Agama adalah perjalanan individu dalam mencari kebenaran, kebahagiaan, kesejahteraan, kejujuran.. Pendek kata, ianya adalah pengalaman peribadi mencari "Tuhan". Dalam perjalanan spiritual ini, hasilnya akan membuat seorang itu sedar akan potensi, kekuatan, kelemahan dan kesempurnaan diri-Nya sendiri. Dan golongan yang sedar ini tidak akan sesekali mengguna kekerasan untuk menindas sesama manusia mahupun pada haiwan atau pokok. Kerana kewujudan ini adalah sesuatu untuk di-hargai, di-rai, dan di-cintai. Adalah sangat mengarut untuk menganiaya diri sendiri atau makhluk lainya, kerana yang sebenarnya semua kejadian ini adalah sama sahaja. 

Tapi ianya berbeza sama sekali dengan organisasi agama. Adalah sangat mengarut untuk menginstitusikan agama.  Agama boleh dianologikan dengan cinta. Untuk cinta, kita perlu mengalaminya sendiri, jatuh cinta dan kemudian berekspresi daripada perasaan cinta itu. Kita tidak boleh wakilkan ulamak, paderi atau sami untuk menjalani cinta itu. Ianya harus dijalani dan dialami secara personal. 

Organisasi agama tidak lain tidak bukan, hanya platform untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa. Tak ubah seperti organisasi politik. Semakin ramai pengikut, semakin benar ajaran itu. Semakin benar ajaran itu, semakin berkuasalah mereka untuk menghukum dan menyesatkan golongan yang tidak bersefahaman. Ianya adalah pertarungan nombor demi ketamakan pada kuasa, dan wang. Ya, mudah sekali wakil-wakil Tuhan ini menggunakan agama untuk mengisi perut mereka dan mengisi full tank kereta mewahnya. Mereka melacurkan agama demi wang! 

Tapi tidak dinafikan organisasi agama itu boleh melahirkan orang yang 'baik'. Dengan ritual-ritual, syariat-syariat, undang-undang dan hukum yang diterapkan boleh membuat manusia menjadi lebih patuh. Tapi apa maksud menjadi baik? Apakah ritual-ritual itu benar-benar membuat kita menjadi insan yang sedar? Mereka yang diajar daripada kecil lagi untuk menundukkan diri dan patuh kepada undang-undang "Tuhan" yang dibuat oleh wakilnya itu, saling tidak ubah seperti haiwan yang di latih di Zoo. Mereka di diajar untuk mengikut arahan dan tidak melawan pada tuannya. Hasilnya agama telah melahirkan banyak manusia-manusia yang jinak dan pasif. Mereka menjadi aset untuk meneruskan legasi zombie yang akan sentiasa bersetuju dan menyokong apa sahaja tindakan tuan @ ulamak kesayangannya. 

Jadilah ritual-ritual yang dijalani seharian itu sebagai ritual kosong yang mengeraskan hati dan membekukan jiwa. Kita juga biasa dengar, manusia yang berdosa dan jahat pada masa silamnya ingin merubah menjadi lebih baik dan lebih 'beragama'. Penghijrahan mereka ini dimulakan dengan penghijrahan penampilan. Ketayap mula dipakai, serban mula dililit, tudung mula disarung, niqab menutup seluruh badan. Kemudian diikuti dengan ritual-ritual keagamaan yang dipaksa dan akhirnya menjadi rutin harian yang dibuat atas dasar ingin berubah menjadi lebih baik. Aku tidak judge atau menghukum golongan ini tetapi ia berlaku sebaliknya. 

Mereka yang berubah secara superficial ini lah yang cenderung untuk menghukum manusia lainnya. Bagi mereka, orang yang tidak beritual seperti mereka, tidak berpenampilan seperti mereka adalah orang yang berdosa. Sikap "Holier than thou" semakin menebal. Orang yang berdosa pada pandangan mereka sangatlah jijik dan wajar dijauhi. Kawan-kawan lama yang padanya masih bergelumangan dengan dosa itu dipandang rendah kononnya atas dasar kasihan. Tidakkah mereka sedar mereka memandang keji diri mereka yang lama dan memuja golongan yang dibencinya dahulu. Ini adalah kitaran alam yang begitu kelakar sekali! 

Jadi pada mereka yang merasakan telah ketemukan kebenaran, telah bertemu Tuhan, tapi menunjukkan sikap dan pemikiran yang egoistik, suka menghukum, mudah bangga diri, "Holier Than Thou", golongan ini harus duduk dan muhasabah kembali. Adakah benar apa yang kamu ketemui itu adalah kebenaran, atau ilusi yang bijak memerangkap manusia dalam kegelapan? Fikir-fikirkan, tenung-tenungkan dan rasa-rasakan. 

Thursday, November 6, 2014

Agama bertanggungjawab melahirkan ateis

Agama seperti yang kita faham sekarang ini, adalah agama doktrin yang tidak lain tidak bukan menyekat manusia untuk menjadi bebas. Agama seperti yang kita ketahui zaman ini, telah menjadi seperti sungai Ganges yang menjadi tempat penyucian pada dosa masa lalu. Seolah-olah, tidak mengapa jika kita berbuat dosa dan berlaku jahat pada sesama makhluk kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka. Kefahaman seperti ini telah membuatkan makin ramai orang bijak pandai menjauhi agama dan orang yang malas berfikir menggunakan agama untuk mengjustifikasikan kebodohan mereka.

Agama bertanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang skeptis terhadap agama itu sendiri. Jika boleh, mereka yang menyebarkan agama doktrin ini harus dibawa dalam mahkamah dan di saman oleh Tuhan kerana mereka telah mencemarkan kalam Tuhan itu sendiri. Sikap agamawan yang membicarakan Tuhan seperti satu persona atau sepreme being yang harus dan wajib dipatuhi, ditakuti, dipuji-puji telah menjatuhkan taraf Tuhan itu sendiri. Adakah Tuhan butuh semua itu? Adakah Tuhan perlukan manusia untuk menyembahnya? Atau adakah manusia yang memerlukan tuhan sebagai agen baik pulih diri?

“Religion has convinced people that there's an invisible man ... living in the sky. Who watches everything you do every minute of every day. And the invisible man has a list of ten specific things he doesn't want you to do. And if you do any of these things, he will send you to a special place, of burning and fire and smoke and torture and anguish for you to live forever, and suffer, and suffer, and burn, and scream, until the end of time. But he loves you. He loves you. He loves you and he needs money.” 

Demikian adalah kata-kata komedian yang juga pemikir yang hebat, George Carlin. Kita boleh tertawa pada jenakanya dan ia juga membuat kita berfikir bahawa agama adalah sesuatu yang sangat mengarut jika kita berfikir secara rasional. Tapi adakah itu agama? Adakah itu agama yang dibawa oleh Ibrahim? Adakah itu agama yang menyebabkan Jesus mati disalib? Adakah itu aagama yang dibawa oleh Muhammad yang nyatanya meliberalisasikan kabilah-kabilah arab? Adakah itu agama yang memperjuangkan nasib golongan tertindas?

Agama yang kita fahami sekarang adalah agama kapitalis, agama yang menyokong status quo. Agama sesat yang menjadi kaki jilat pemerintah. Padahal agama yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu adalah agama yang menakutkan dan menjadi mimpi ngeri bagi pihak pemerintah dan pemegang modal pada waktu itu. Agama telah dimodernisasikan dan menjadi relevan dengan sikap tamak manusia itu sendiri yang didorong oleh sistem kapitalis. Agama tidak lagi menjadi landasan penyucian sanubari dan agen baik pulih diri tetapi menjadi satu kebodohan yang diikuti turun-temurun. 

Tidakkah kamu berfikir? Agama telah memecahbelahkan manusia. Tidak cukup manusia itu dipisahkan melalui kasta, harta, kaum, pangkat, ditambah satu lagi faktor pemisahan iaitu agama? Jika agama itu membawa kebaikan sejagat pada umat manusia seperti maksud kalam tuhan "Rahmatan lil Alamin" maka berikan buktinya! Hanya berceramah di masjid tidak akan mengubah apa-apa. Ia hanya menjadi benih kepada sikap skeptism dan melahirkan lebih ramai ateis-ateis di muka bumi ini...

Sunday, April 20, 2014

Tujuan Hidup Seorang Freethinker

Sejujurnya, soalan seperti ini tidak lari dari mengusutkan pemikiranku. Mungkin aku tidak mampu memberi jawapan yang terbaik.  Lebih-lebih lagi, apabila mindset sudah berubah ke arah freethinker. Satu jawapan untuk sesuatu persoalan seperti ini sudah tidak mudah dijawab semudah abc. 

Kalau dulu ketika diriku masih beragama, mindaku ringan untuk menetapkan matlamat hidup di dunia ini. Aku selesa untuk menurut saja standard kehidupan majoriti masyarakat, di mana mereka hanya perlu menghabiskan sisa hidup dengan melahirkan generasi seterusnya agar hidup mereka tidak kosong. Paling menarik lagi, seseorang hanya perlu menjadi orang yang baik agar dapat hidup di syurga selama-lamanya. Aku agak kanak-kanak yang sudah dibrainwash dengan kisah dongeng syurga lebih fasih menjawab soalan mudah dan ringkas seperti ini. 

Dulu, ketika aku masih kecil, aku tidak mengenal apa erti kesunyian. Hidupku dikelilingi rakan-rakan sepermainan yang tidak menghakimi rakan-rakan yang lain dengan sewenang-wenangnya. Tidak pernah ku dihurung kemurungan dan keperitan walau sesaat. Hanya mungkin kesedihan atas perkara remeh temeh. Tidak ku duga kehidupan mereka yang dewasa bukanlah semudah yang pernah ku anggap ketika aku masih kecil. Lebih-lebih lagi apabila berubah pendirian kepada sesuatu yang 'against the world'. Yes, being a freethinker is me against the world. It's ride or die. Aku sendiri tak mampu menduga apa yang bakal menimpa atas keterbukaanku ini. Mungkin lopak-lopak jalanan yang telah ku lalui akan ku lalui sekali lagi. 

Indahnya hidup apabila manusia tidak perlu risau tentang masa depan mereka untuk jangka masa yang panjang. Aku hanya perlu fikirkan sesuatu untuk jangka masa yang pendek. Seperti menurut sahaja apa yang telah dijadualkan oleh mereka yang lebih dewasa. Itulah natijahnya agama yang jumud dan ortodoks. Ianya tak ubah seperti singkatnya pemikiran kanak-kanak tentang pemikiran masa depan jika dibandingkan dengan mereka yang sudah dewasa. Kanak-kanak hanya patuh dan tunduk kepada orang tua mereka. Jika dimarah untuk tidak berbuat sesuatu, maka patuhlah ia. Hendak masuk exam pun, soalan senang-senang sahaja. Kebanyakan jawab style abc. Tak perlu pening-pening jawab soalan yang kompleks dan memeningkan seperti mereka yang berada peringkat pengajian tinggi.

Bagi aku, soal mengapa hidup itu akan sentiasa dinamik jawapannya. Kalau untuk orang beragama, jawapan tipikal mereka selalu membosankanku. Aku pasti aku hidup bukan untuk merasa bosan. Kerana itu, aku berpaling tadah apabila tiada lagi nilai-nilai ilmiah dalam agama yang mencabar rationaliti manusia. Untuk mencari tujuan hidup, aku lebih suka bergantung kepada situasi perjalanan hidup semasa yang aku lalui. "Just go with the flow". Aku hidup mengikut rentak frekuensi lakaran kehidupan. Aku tidak berani membuat harapan yang tinggi untuk jangka masa yang panjang. Takut tergigit jari apabila harapan menjadi palsu. Aku hidup untuk hari ini dan akan terus mengisi kekosongan itu dengan apa-apa jua cara bermanfaat untuk memenuhinya. Sebagai seorang freethinker, saya terima seadanya nilai sekular di sekeliling kita sudah cukup mengimbangi keperluan seseorang manusia. Agama itu perlu atau tidak? Well, aku hanya mengharapkan mereka biarkan aku bebas dengan pendirianku sepertimana aku tidak pernah menghalang mereka berdiri dengan pendirian mereka.

Saturday, April 12, 2014

Mengapa Hidup?

Adakah makna dalam kehidupan manusia di muka bumi ini? Apabila kita merenung tentang hakikat kewujudan planet ini di dalam alam yang maha luas, dan tiadalah umat manusia mampu mengukur keluasannya. Golongan ateis pula menyedari nikmat kehidupan kerana diberi peluang untuk merasa takjub dengan alam yang diperintah oleh pelbagai hukum fizik yang sedikit-sebanyak merungkai misteri alam.

Kewujudan nyawa manusia itu pula ditandai oleh perkahwinan antara sel ovum dan sel sperma yang memenangi jutaan sperma-sperma yang lain. Adalah suatu kesyukuran terhadap peluang yang diberi ini dan janganlah kita meratapi hidup ini dengan kesedihan jikalau kita diberikan ujian kesengsaraan, kerana percayalah yang setiap peristiwa itu bisa mengajar kita untuk mengenali alam ini dengan lebih baik lagi yakni setiap peristiwa itu pasti ada hikmahnya.

Hayatilah kekerdilan kita di alam ini dengan jumlah planet-planet yang dianggarkan lebih banyak dari jumlah manusia di bumi itu sendiri. Kembali kepada persoalan asal pada baris pertama, ada eloknya kita melihat kembali teologi al-Quran tentang makna kehidupan manusia, kerana kita semua biasa mendengarnya dan membacanya. Manusia itu diciptakan untuk menjaga bumi ini. Andai pembaca adalah seorang yang hanya mengiktiraf pengetahuan sekular sekalipun, peranan ini masih boleh dihargai.

Lihatlah bumi yang makin tandus ini, digelumang dengan pelbagai dosa-dosa si kapitalis yang tidak pernah mengeluh dalam mengguna pakai segala sumber di planet ini. Pokok-pokok semakin kurang dan ruang-ruang semakin sedikit sesuai dengan kejayaan pengkilangan umat-umat manusia untuk menjadi kaum pekerja, semuanya untuk menggerakkan industri konsumerisme. Laut-laut pula semakin tercemar, dan lapisan atmosfera semakin menipis. Hilang sudahkah hubungan manusia dengan alam? Dimanakah rasa tanggungjawab itu? Mungkin tiada silapnya malaikat menganggap penciptaan manusia ini hanyalah sebuah bala bencana, sejenis spesies virus yang tiada gunanya kepada sekalian alam. Aku masih tidak dapat melihat janji Tuhan yang berfirman “Sesungguhnya Aku lebih mengetahui”. Aku melihat manusia itu sendiri yang mengusahakan kiamatnya sendiri.

Kebanyakan umat manusia hari ini lebih mementingkan kebahagiaan sendiri yang dianggap mereka sesuatu yang penting, walhal penerokaan terhadap makna kebahagiaan abadi itu adalah sesuatu yang memakan masa seumur hidup. Selalunya ia akan diakhiri dengan mengharapkan pendekatan hedonis yang menyedut kebahagiaan jangka masa pendek secara berulang-ulang sehingga detik perkahwinan mereka yang diharap sebagai kebahagiaan agung, kemudian dilahirkan manusia-manusia yang tidak pernah minta untuk dilahirkan dan kitaran ini akan diteruskan. Dogma-dogma agama ditebarkan dari segenap pelosok kerajaan-kerajaan bumi tanpa mereka mahu menunjukkan apa itu kebenaran. Hasil campur dogma dan gaya hedonis inilah yang mendefinisikan kebahagiaan dan kebenaran majoriti umat manusia itu sendiri.

Sekelompok kecil yang lain pula tergapai-gapai mencari hakikat sebenar kehidupan ini, dan mengharapkan ia turun dari sisi Yang Agung. Tidak sekali-kali mereka berputus asa dari meneroka alam ini demi mencari pencerahan itu. Moga Tuhan Pemilik Kebenaran menerima doa mereka ini, dan membalas sesuai dengan KeadilanNya itu.

Bagaimana pula dengan planet ini? Saya yakin ia akan terus berputar di atas paksinya untuk jangka masa yang lama, kerana bumi ini sudah menghadapi kiamat sebanyak lima kali [sesuai dengan kajian sains terhadap sejarah bumi sepanjang 4.5 billion keadaannya] dan memusnahkan pelbagai spesies makhluk. Kiamat adalah tentang nasib manusia dan bukan nasib bumi. Maka sekali lagi aku bertanya kamu, apa makna kehidupan manusia ini? Benarkah Tuhan tidak pernah menghubungi kita melalui pencerahan meditasi para nabi-nabi dan wali-wali? Ingatlah yang kita tidak pernah minta dilahirkan. Mungkin tujuan kita dilahirkan adalah hanya untuk menemani ibu bapa kita yang mahukan kebahagiaan sejati.

Filem "her" dan kecemburuan

Amaran: Kalau kau bencikan spoilers, berhenti membaca.

///

Aku ingin menyentuh berkenaan dengan egosentrisme yang dimanifestasikan dengan fenomena kecemburuan. Di dalam filem, Theodore sangat-sangat kecewa apabila dia mengetahui yang Samantha (teman wanitanya yang merupakan sebuah kecerdasan buatan / artificial intelligence) juga boleh berkomunikasi dengan ribuan individu yang lain dan juga menjalani hubungan romantik dengan ratusan individu pada masa yang sama. Theodore merasakan yang dia tidak „memiliki“ Samantha atau mendapat perhatian yang sepenuhnya. Dia juga merasakan yang Samantha tidak mempunyai komitmen yang penuh dalam hubungan mereka. Tapi Samantha mempunyai kebolehan yang super-manusia. Dia mampu memberikan kasih sayang yang penuh kepada banyak individu sekali gus.

Di sini kita lihat manusia dalam psikologinya agak terbatas dan boleh juga dikatakan mementingkan diri sendiri. Jika Theodore ialah seorang yang benar-benar mementingkan kemaslahatan/kesejahteraan manusia, maka sepatutnya dia tidak ada masalah dengan apa yang dilakukan oleh Samantha. Tapi sebagai penonton, kita sukar untuk tidak bersimpati dengan Theodore, kerana kita mungkin akan mempunyai perasaan yang sama jika diletakkan dalam situasi tersebut.

Seperti kita tahu, kecemburuan ialah sesuatu yang banyak membawa kepada masalah. Ia menyebabkan kesakitan emosi (a.k.a. sakit hati) dan mengundang konflik di dalam sesuatu hubungan. Ia juga boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan dan melakukan sesuatu yang jenayah seperti mencederakan pasangan dan mungkin juga sampai ke tahap membunuh pasangan. Akan tetapi, kecemburuan juga boleh ditukarkan kepada sesuatu yang baik. Seorang yang didorong oleh kecemburuan boleh mengambilnya sebagai motivasi untuk memperbaik diri, sama ada dari sudut fizikal mahu pun dari sudut tingkah laku. Dari segi ini, sama ada respon seseorang itu terhadap kecemburuan ialah positif ataupun negatif bergantung kepada individu itu tersendiri.

Tapi dalam masa yang sama, persoalan yang lebih asas daripada itu boleh disentuh, iaitu sama ada kita perlu untuk mendefinisikan kejadian sebagai manusia dengan perasaan cemburu. Kita ialah satu spesis yang sedang mengalami perubahan. Evolusi ialah satu proses yang berterusan dan tidak berhenti pada satu spesimen yang "sempurna", kerana di sana tidak wujud satu-satunya spesis yang sempurna, akan tetapi hanyalah spesis yang optimum dalam suasananya yang semasa dan setempat. Kita ialah binatang. Kita ialah kordata (chordate). Kita ialah mamalia. Kita ialah beruk. Daripada cabang tertinggi dalam pokok filogenetik* yang mengklasifikasikan kehidupan, kita telah pun menjadi Kita. Cuma, Kita berubah mengikut zaman. Kita tidak sekadar berubah dari ciri-ciri fizikal yang boleh dilihat seperti daripada memiliki insang kepada memiliki paru-paru, bahkan juga dari segi psikologi. Dari segi kompleksiti emosi, kita telah banyak bertambah. Pasti apabila kita masih dalam fasa amfibia, kita tidak berkemampuan untuk mempunyai penghargaan yang mendalam tentang dengan keluasan alam semesta ini dan kekecilan dan ketidaksignifikans bumi di dalamnya, atau keindahan potensial yang mampu dihasilkan oleh getaran udara jika disusun dalam bentuk komposisi Mozart. Melihat ke masa lampau, aku pasti ramai yang akan bersetuju jika aku katakan yang kita pada hari ini mempunyai sofistikasi emosi yang tinggi. Dalam masa yang sama, peningkatan fakulti akal yang sama juga mengizinkan kita juga untuk mempunyai impuls-impuls negatif yang nenek moyang uniselular kita pada suatu masa dahulu tidak langsung boleh bayangkan, seperti perasaan kepuakan yang menyebabkan kita membenci dan mempunyai prejudis kepada mereka yang diidentifikasi sebagai „orang luar“, satu fenomena yang boleh dilabel sebagai tribalisme.

Tribalisme mungkin pernah membantu Kita untuk meneruskan kehidupan pada masa lampau, di mana mereka yang sangat agresif dalam mempertahankan kawasannya daripada pencoroboh asing yang berkemungkinan untuk mencuri sumber atau pasangan, akan mempunyai kebarangkalian untuk terus hidup (survive) yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang agak longgar dalam polisi ini. Tapi dalam dunia moden pada hari ini, kita tidak lagi memerlukan impuls yang primitif ini. Kita tahu untuk tidak mencuri hak mahupun isteri atau pasangan orang lain. Bahkan secara teorinya, jika kebolehan akal kita berkembang dengan cukup pantas yang mengizinkan kontemplasi moral yang ligat, boleh jadi kita akan mampu untuk melompat daripada fasa kebolehan intelek yang sangat asas kepada sofistikasi yang mencukupi, sehingga tidak perlu langsung mengalami zaman kewujudan tribalisme.



Tidak dapat dinafikan, penyingkiran tribalisme dari pendefinisian Kita telah memanfaatkan sangat ramai daripada kita. Perkara yang sama mungkin boleh juga dihujahkan yang impuls-impuls lain, termasuk kecemburuan. Boleh jadi, dengan ketidakwujudan perasaan cemburu, jumlah kebahagiaan yang dialami oleh spesis manusia akan jauh lebih banyak berbanding dengan jika kita mempunyai perasaan cemburu. Persoalannya ialah, adakah kita rela untuk membuang ciri-ciri ini untuk pergi ke satu tahap yang lebih tinggi? Mengetahui yang perubahan itu ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan di dalam alam semulajadi, pentingkah kita untuk kekal Kita seperti yang sekarang ini?

*Diedit daripada taksonomikal

Gambar: http://www.evolutionrevolution.eu/wp-content/uploads/strom-zivota.jpg

Friday, March 21, 2014

Dunia tanpa agama. (siri I)


Bayangkan agama itu tidak pernah wujud di muka bumi ini, syurga neraka itu tidak pernah ada, dan Tuhan itu memang tidak wujud.

Maka atas kesedaran ini, apa yang manusia akan lakukan? Hidup mereka hanyalah hidup di muka bumi ini sahaja. Tiada lagi hari pembalasan. Hidup sebenar hidup adalah di bumi ini.

 Persoalannya, adakah manusia ini akan menjadi lebih baik atau lebih barbarik?
Lebih mementingkan diri sendiri daripada ambil pusing tentang manusia dan alam? 
Pahala tidak perlu lagi dikumpul jadi adakah kita akan jadi lebih fokus mengumpul kekayaan dunia?
Makanya segala kekayaan di bumi ini akan di bolot untuk kepentingan sendiri tanpa memikirkan kesan sebaliknya?

Tidak dinafikan bahawa negara barat yang lebih sekular, yang tidak mementingkan kewujudan dan kepercayaan Tuhan, mereka lebih maju dari segala aspek. Dari aspek pendidikan, kebajikan sosial, teknologi, ekonomi dll. Jadi apa pentingnya beragama dan bertuhan? Negara lain yang di lihat lebih mementingkan agama itu kebanyakannya negara yang mundur dan kelas ketiga. 

Ibnu Rusyd mengatakan; "Dunia ini terbahagi kepada insan yang mempunyai kecerdasan dan tiada agama, dan insan yang mempunyai agama dan tiada kecerdasan" Seperti kata-kata yang popular, "Agama itu adalah candu". Ya, dan aku tambah, agama itu adalah candu, tapi candu yang mensejahterakan. 

Ya, candu! Tapi dengan agama, seseorang itu boleh menjadi manusia yang lebih baik. Bayangkan negara arab tanpa Islam? Bayangkan bangsa arab yang memang dikenali dengan perangai barbarik mereka, hidup tanpa panduan yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad? Pasti negara itu akan berbalah, jika tidak kerana agama, tapi kerana mempertahankan kabilah masing-masing. 


Esensi sebuah agama itu adalah menyerah pada tuhan dan berlaku baik. Tiada agama yang menekankan mereka wajib menzalimi manusia yang lain. W
alau sedalam mana kebencian kamu terhadap agama, agama itu tetap memberi kesan positif pada evolusi sejarah manusia..

Konklusinya, atheist atau theist, beragama atau tidak, bertuhan atau tidak, itu semua tidak penting. Yang penting adalah apa sumbangan kamu terhadap dunia ini. Adakah kewujudan kamu di dunia ini hanya memberatkan bumi dan menghabiskan oksigen. Tidak perlu untuk kita menjadi munafik dengan menggunakan agama untuk kita menghalalkan segala yang kita suka. Pendek kata, Kita tidak perlukan agama untuk menjadi lebih baik. 





"Apakah kalian mempunyai keberanian untuk menjadi diri sendiri yang sebenar-benarnya?" (akan bersambung)

Sunday, March 16, 2014

SELAMAT TINGGAL VIRIDIANA?

Baru pulang dari menghadiri ritual Dapur Jalanan (diadakan setiap Ahad, 6 ptg). Tujuannya adalah memberi makanan kepada golongan orang yang tidak berpendapatan. Ritual ini dianjurkan golongan muda belia, rata-rata yang aku nampak adalah pelajar, dimana pada fikiran aku, juga adalah golongan yang tiada pendapatan. Ini sebenarnya adalah kritikan sosial kaum pemuda!Tiada duit pun boleh kasi makan orang yang takde duit. Bammm!!Teringat cerita VIRIDIANA , si Gadis Ayu!

VIRIDIANA (1961) oleh Luis Bunuel.

Filem arahan Luis Bunuel yang berasal dari Sepanyol. Sebelum itu, adalah penting untuk menceritakan konteks sejarah pada ketika filem ini diarahkan. Ia diarahkan semasa pemerintahan diktator fasict iaitu Francisco Franco. Dan pemerintahan diktator ini di sokong kuat oleh Gereja Katolik.

Filem ini berkisar tentang seorang ‘nun’/biarawati bernama Viridiana yang dipujuk oleh gereja untuk melawat bapa saudaranya (seorang yang kaya) yang baru kematian isteri. Viridiana digambarkan sebagai seorang yang sangat cantik dan indah. Pada pandangan aku, ia adalah metafor kepada Agama. Agama yg digambarkan adalah sangat cantik dan mengiurkan kepada golongan-golongan atasan, mewah dan berkuasa sehinggakan ia dimanipulasi untuk kepentingan sendiri dan agama itu, akhirnya dilihat telah kehilangan fungsi akibat kecelaruan memahami permasalahan manusia sejagat.

KRITIKAN LUIS BUNUEL KEPADA GEREJA KATOLIK.

Terdapat beberapa metafor agama atau simbol yang sangat jelas ditonjolkan dalam filem ini. Antaranya pisau berbentuk salib, Crown of Thorns yang dibakar dan seorang wanita ‘flashing’ didepan meja makan dipenuhi pengemis yang menyerupai lukisan The Last Supper oleh Da Vinci.
Namun intipati cerita yang aku anggap penting adalah, dimana sifat Viridiana yang pada mulanya sangat beriman dan agak malu-malu kucing akhirnya tumpas dan terkeliru kepada idea-idea hedonisme yang digambarkan melalui metafor-matafor kemewahan, nafsu (digambarkan dengan imaginasi bapa saudaranya yang melihat Viridiana menyerupai arwah isterinya) dan tipu muslihat.

Viridiana yang telah menyelamatkan golongan-golongan pengemis jalanan untuk tinggal bersamanya (kerana sifatnya yang beriman kepada ajaran agama) akhirnya dikhianati oleh sifat-sifat semulajadi manusia (tamak, hawa nafsu, penting diri) yang mengambil kesempatan terhadap kebaikan Viridiana. Sifat-sifat semulajadi ini (Forces of nature), dilihat oleh Bunuel sebagai sifat-sifat yang ‘pure’/real dan adalah sebagai bukti-bukti kewujudan manusia dan ia merupakan satu pandangan mengenai Hak dan bukanlah simpati seperti yang ditunjukkan oleh Viridiana dan akhirnya telah gagal. Babak ini dikira penting kerana pada pandangan aku, ia juga menggambarkan betapa agama telah gagal melihat dan memahami masalah-masalah yang wujud dikalangan umatnya apabila agama telah terlalu hanyut dengan manipulasi yang didominan golongan-golongan berkepentingan dan berkuasa. Perubahan diri Viridiana yang pada mulanya dilihat suci dan akhirnya tunduk kepada pujukan keseronokan , digambarkan oleh Bunuel betapa agama yang pada mulanya adalah sesuatu yang mulia, mungkin pada satu hari nanti akan terkubur jika ia gagal keluar dari kecelaruan dominasi-dominasi pihak berkepentingan sehingga ia melupakan tujuan utamanya iaitu menjaga kepentingan manusia sekelian alam.

Untuk konteks Islam sekarang, adakah kita juga mengalami masalah yang serupa? Iaitu agama didominasi oleh pihak pihak tertentu sehingga kemasalahan manusia lain dilupakan? Adakah dan apakah? Kita wajib memikirkannya. Sewajib berpuasa di bulan Ramadhan.