tSoS

tSoS

Wednesday, November 19, 2014

Menjadi Ateis: Satu Langkah Menuju Kebenaran

Pengalaman aku pergi ke masjid, kuil dan tokong yang berlainan fahaman dan agama telah mengajar aku banyak perkara. Walaupun berlainan fahaman, tetapi dalam kepelbagaian itu terlalu banyak persamaan antara mereka. Agama telah wujud sejak sekian lama. Bermula dari mitos-mitos dan cerita kayangan yang bagi aku, mengkhayalkan. Di sini aku bersependapat dengan Karl Marx yang menyatakan agama itu candu. Manusia lebih mudah menerima cerita-cerita magis kerana dengan bahasa yang puitis itu kita menjadi terpesona akan keindahan cerita itu. Kita dihidangkan dengan cerita indah-indah dari langit yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan kitaran hidup kita.

Majoriti masyarakat memerlukan sebuah angan-angan, harapan, impian, atau dengan kata lain "Tuhan" untuk melupakan kehidupan yang penuh dengan kesengsaraan ini. Penat lelah mencari makan, perit-getir dalam menjalani hidup di adukan pada Tuhan untuk melepaskan segala penat lelah. Perasaan risau gundah gulana akan musibah yang ditakuti menimpa suatu hari nanti di redakan dengan sikap kebergantungan pada tuhan yang berada di kuil-kuil, di tokong-tokong atau di masjid. Manusia jadi bergantung pada entiti yang lebih besar, yang tidak terjangkau oleh akal logiknya untuk meredakan keresahan dalam menjalani kehidupan seharian. 

Atas dasar iman ini juga manusia menjadi takut untuk berbuat dosa kerana risau dengan kejahatan yang dilakukan akan menjauhkan dirinya dengan Tuhan. Ini adalah kekuatan dan aspek postif dalam agama yang tidak dapat ditandingi oleh ideologi yang lain. Sesetengah manusia memerlukan kepercayaan pada syurga dan neraka untuk menghalang mereka dari berbuat jahat. Seolah-olah jika ditarik kepercayaan ini, mereka bertukar menjadi binatang yang bebas berbuat apa pun. 

Tapi zaman berlalu, manusia sentiasa berkembang dan pemikiran mereka berevolusi seiring dengan  kemajuan lahiriah. Sebagai contoh negara maju seperti Sweden, majoriti penduduknya tidak beragama. Negara scandanivian itu sangat prihatin terhadap hak-hak kemanusian. Mereka sangat mengambil berat akan hak-hak asasi seperti perubatan, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.  Mereka tidak memerlukan panduan agama untuk menentukan apa yang baik dan adil untuk menjamin kesejahteraan sejagat. Berbanding dengan negara mundur, kebanyakannya dikuasai dan dipelopori oleh institusi agama. Tapi itu tidak membuatkan negara itu menjadi lebih maju tetapi menjadi sebaliknya.  Jadi ini menimbulkan persoalan, adakah kemajuan peradaban manusia menidakkan kebenaran agama itu sendiri? Adakah agama membantutkan pemikiran manusia? 

Golongan bijak pandai, yang mampu berfikir secara kritis dan rasional cenderung untuk menjadi ateis. Keberadaan Tuhan itu tidak dapat ditampilkan dengan bukti yang kukuh. Ketidakpercayaan pada tuhan ini membebaskan mereka dari pemikiran yang menyekat dan membelenggu dalam kehidupan seharian. Doktrin agama adalah umpama penjara minda yang menyekat manusia untuk berfikir lebih jauh lagi. Sebagai bukti, agama kristian pada waktu dahulu banyak menyekat saintis-saintis pada waktu itu kerana penemuan saintifik itu boleh menggugat doktrin agama itu sendiri. Penemuan dan eksplorasi yang baharu itu bisa menidakkan kitab-kitab yang diimani institusi agama itu dengan bukti sainstifik yang lebih rasional. 

Manusia itu adalah pengembara yang bisa mengeksplorasi dunia dengan sifat ingin tahu yang wujud sejak azali.. Jadi syabas diucapkan pada mereka yang bisa memecahkan doktrin agama yang menyekat mereka untuk berfikir lebih jauh lagi. Tetapi adakah pembebasan dari cengkaman agama itu membuat kamu menjadi manusia yang lebih berguna? Adakah kamu bisa mencapai ketenangan dalam hidup? Jika tiada Tuhan, jadi hidup ini untuk apa? 

Aku tak percaya pada preaching dan bagi aku manusia boleh percaya apa pun yang mereka mahu. Tapi sekuat mana pun kepercayaan kamu, itu tidak menjadikan sesuatu itu benar. Kebenaran adalah sesuatu yang sangat personal dan perlu di gali, dirasai sendiri. Tetapi tidak bermakna kebenaran itu sesuatu yang relatif, melainkan ia merupakan sesuatu yang sangat universal dan kita semua berkongsi kebenaran yang sama. 

--Akan bersambung--


Sunday, November 9, 2014

Ritual yang mengeraskan hati, membekukan jiwa

Agama adalah perjalanan individu dalam mencari kebenaran, kebahagiaan, kesejahteraan, kejujuran.. Pendek kata, ianya adalah pengalaman peribadi mencari "Tuhan". Dalam perjalanan spiritual ini, hasilnya akan membuat seorang itu sedar akan potensi, kekuatan, kelemahan dan kesempurnaan diri-Nya sendiri. Dan golongan yang sedar ini tidak akan sesekali mengguna kekerasan untuk menindas sesama manusia mahupun pada haiwan atau pokok. Kerana kewujudan ini adalah sesuatu untuk di-hargai, di-rai, dan di-cintai. Adalah sangat mengarut untuk menganiaya diri sendiri atau makhluk lainya, kerana yang sebenarnya semua kejadian ini adalah sama sahaja. 

Tapi ianya berbeza sama sekali dengan organisasi agama. Adalah sangat mengarut untuk menginstitusikan agama.  Agama boleh dianologikan dengan cinta. Untuk cinta, kita perlu mengalaminya sendiri, jatuh cinta dan kemudian berekspresi daripada perasaan cinta itu. Kita tidak boleh wakilkan ulamak, paderi atau sami untuk menjalani cinta itu. Ianya harus dijalani dan dialami secara personal. 

Organisasi agama tidak lain tidak bukan, hanya platform untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa. Tak ubah seperti organisasi politik. Semakin ramai pengikut, semakin benar ajaran itu. Semakin benar ajaran itu, semakin berkuasalah mereka untuk menghukum dan menyesatkan golongan yang tidak bersefahaman. Ianya adalah pertarungan nombor demi ketamakan pada kuasa, dan wang. Ya, mudah sekali wakil-wakil Tuhan ini menggunakan agama untuk mengisi perut mereka dan mengisi full tank kereta mewahnya. Mereka melacurkan agama demi wang! 

Tapi tidak dinafikan organisasi agama itu boleh melahirkan orang yang 'baik'. Dengan ritual-ritual, syariat-syariat, undang-undang dan hukum yang diterapkan boleh membuat manusia menjadi lebih patuh. Tapi apa maksud menjadi baik? Apakah ritual-ritual itu benar-benar membuat kita menjadi insan yang sedar? Mereka yang diajar daripada kecil lagi untuk menundukkan diri dan patuh kepada undang-undang "Tuhan" yang dibuat oleh wakilnya itu, saling tidak ubah seperti haiwan yang di latih di Zoo. Mereka di diajar untuk mengikut arahan dan tidak melawan pada tuannya. Hasilnya agama telah melahirkan banyak manusia-manusia yang jinak dan pasif. Mereka menjadi aset untuk meneruskan legasi zombie yang akan sentiasa bersetuju dan menyokong apa sahaja tindakan tuan @ ulamak kesayangannya. 

Jadilah ritual-ritual yang dijalani seharian itu sebagai ritual kosong yang mengeraskan hati dan membekukan jiwa. Kita juga biasa dengar, manusia yang berdosa dan jahat pada masa silamnya ingin merubah menjadi lebih baik dan lebih 'beragama'. Penghijrahan mereka ini dimulakan dengan penghijrahan penampilan. Ketayap mula dipakai, serban mula dililit, tudung mula disarung, niqab menutup seluruh badan. Kemudian diikuti dengan ritual-ritual keagamaan yang dipaksa dan akhirnya menjadi rutin harian yang dibuat atas dasar ingin berubah menjadi lebih baik. Aku tidak judge atau menghukum golongan ini tetapi ia berlaku sebaliknya. 

Mereka yang berubah secara superficial ini lah yang cenderung untuk menghukum manusia lainnya. Bagi mereka, orang yang tidak beritual seperti mereka, tidak berpenampilan seperti mereka adalah orang yang berdosa. Sikap "Holier than thou" semakin menebal. Orang yang berdosa pada pandangan mereka sangatlah jijik dan wajar dijauhi. Kawan-kawan lama yang padanya masih bergelumangan dengan dosa itu dipandang rendah kononnya atas dasar kasihan. Tidakkah mereka sedar mereka memandang keji diri mereka yang lama dan memuja golongan yang dibencinya dahulu. Ini adalah kitaran alam yang begitu kelakar sekali! 

Jadi pada mereka yang merasakan telah ketemukan kebenaran, telah bertemu Tuhan, tapi menunjukkan sikap dan pemikiran yang egoistik, suka menghukum, mudah bangga diri, "Holier Than Thou", golongan ini harus duduk dan muhasabah kembali. Adakah benar apa yang kamu ketemui itu adalah kebenaran, atau ilusi yang bijak memerangkap manusia dalam kegelapan? Fikir-fikirkan, tenung-tenungkan dan rasa-rasakan. 

Thursday, November 6, 2014

Agama bertanggungjawab melahirkan ateis

Agama seperti yang kita faham sekarang ini, adalah agama doktrin yang tidak lain tidak bukan menyekat manusia untuk menjadi bebas. Agama seperti yang kita ketahui zaman ini, telah menjadi seperti sungai Ganges yang menjadi tempat penyucian pada dosa masa lalu. Seolah-olah, tidak mengapa jika kita berbuat dosa dan berlaku jahat pada sesama makhluk kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka. Kefahaman seperti ini telah membuatkan makin ramai orang bijak pandai menjauhi agama dan orang yang malas berfikir menggunakan agama untuk mengjustifikasikan kebodohan mereka.

Agama bertanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang skeptis terhadap agama itu sendiri. Jika boleh, mereka yang menyebarkan agama doktrin ini harus dibawa dalam mahkamah dan di saman oleh Tuhan kerana mereka telah mencemarkan kalam Tuhan itu sendiri. Sikap agamawan yang membicarakan Tuhan seperti satu persona atau sepreme being yang harus dan wajib dipatuhi, ditakuti, dipuji-puji telah menjatuhkan taraf Tuhan itu sendiri. Adakah Tuhan butuh semua itu? Adakah Tuhan perlukan manusia untuk menyembahnya? Atau adakah manusia yang memerlukan tuhan sebagai agen baik pulih diri?

“Religion has convinced people that there's an invisible man ... living in the sky. Who watches everything you do every minute of every day. And the invisible man has a list of ten specific things he doesn't want you to do. And if you do any of these things, he will send you to a special place, of burning and fire and smoke and torture and anguish for you to live forever, and suffer, and suffer, and burn, and scream, until the end of time. But he loves you. He loves you. He loves you and he needs money.” 

Demikian adalah kata-kata komedian yang juga pemikir yang hebat, George Carlin. Kita boleh tertawa pada jenakanya dan ia juga membuat kita berfikir bahawa agama adalah sesuatu yang sangat mengarut jika kita berfikir secara rasional. Tapi adakah itu agama? Adakah itu agama yang dibawa oleh Ibrahim? Adakah itu agama yang menyebabkan Jesus mati disalib? Adakah itu aagama yang dibawa oleh Muhammad yang nyatanya meliberalisasikan kabilah-kabilah arab? Adakah itu agama yang memperjuangkan nasib golongan tertindas?

Agama yang kita fahami sekarang adalah agama kapitalis, agama yang menyokong status quo. Agama sesat yang menjadi kaki jilat pemerintah. Padahal agama yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu adalah agama yang menakutkan dan menjadi mimpi ngeri bagi pihak pemerintah dan pemegang modal pada waktu itu. Agama telah dimodernisasikan dan menjadi relevan dengan sikap tamak manusia itu sendiri yang didorong oleh sistem kapitalis. Agama tidak lagi menjadi landasan penyucian sanubari dan agen baik pulih diri tetapi menjadi satu kebodohan yang diikuti turun-temurun. 

Tidakkah kamu berfikir? Agama telah memecahbelahkan manusia. Tidak cukup manusia itu dipisahkan melalui kasta, harta, kaum, pangkat, ditambah satu lagi faktor pemisahan iaitu agama? Jika agama itu membawa kebaikan sejagat pada umat manusia seperti maksud kalam tuhan "Rahmatan lil Alamin" maka berikan buktinya! Hanya berceramah di masjid tidak akan mengubah apa-apa. Ia hanya menjadi benih kepada sikap skeptism dan melahirkan lebih ramai ateis-ateis di muka bumi ini...