tSoS

tSoS

Saturday, April 12, 2014

Mengapa Hidup?

Adakah makna dalam kehidupan manusia di muka bumi ini? Apabila kita merenung tentang hakikat kewujudan planet ini di dalam alam yang maha luas, dan tiadalah umat manusia mampu mengukur keluasannya. Golongan ateis pula menyedari nikmat kehidupan kerana diberi peluang untuk merasa takjub dengan alam yang diperintah oleh pelbagai hukum fizik yang sedikit-sebanyak merungkai misteri alam.

Kewujudan nyawa manusia itu pula ditandai oleh perkahwinan antara sel ovum dan sel sperma yang memenangi jutaan sperma-sperma yang lain. Adalah suatu kesyukuran terhadap peluang yang diberi ini dan janganlah kita meratapi hidup ini dengan kesedihan jikalau kita diberikan ujian kesengsaraan, kerana percayalah yang setiap peristiwa itu bisa mengajar kita untuk mengenali alam ini dengan lebih baik lagi yakni setiap peristiwa itu pasti ada hikmahnya.

Hayatilah kekerdilan kita di alam ini dengan jumlah planet-planet yang dianggarkan lebih banyak dari jumlah manusia di bumi itu sendiri. Kembali kepada persoalan asal pada baris pertama, ada eloknya kita melihat kembali teologi al-Quran tentang makna kehidupan manusia, kerana kita semua biasa mendengarnya dan membacanya. Manusia itu diciptakan untuk menjaga bumi ini. Andai pembaca adalah seorang yang hanya mengiktiraf pengetahuan sekular sekalipun, peranan ini masih boleh dihargai.

Lihatlah bumi yang makin tandus ini, digelumang dengan pelbagai dosa-dosa si kapitalis yang tidak pernah mengeluh dalam mengguna pakai segala sumber di planet ini. Pokok-pokok semakin kurang dan ruang-ruang semakin sedikit sesuai dengan kejayaan pengkilangan umat-umat manusia untuk menjadi kaum pekerja, semuanya untuk menggerakkan industri konsumerisme. Laut-laut pula semakin tercemar, dan lapisan atmosfera semakin menipis. Hilang sudahkah hubungan manusia dengan alam? Dimanakah rasa tanggungjawab itu? Mungkin tiada silapnya malaikat menganggap penciptaan manusia ini hanyalah sebuah bala bencana, sejenis spesies virus yang tiada gunanya kepada sekalian alam. Aku masih tidak dapat melihat janji Tuhan yang berfirman “Sesungguhnya Aku lebih mengetahui”. Aku melihat manusia itu sendiri yang mengusahakan kiamatnya sendiri.

Kebanyakan umat manusia hari ini lebih mementingkan kebahagiaan sendiri yang dianggap mereka sesuatu yang penting, walhal penerokaan terhadap makna kebahagiaan abadi itu adalah sesuatu yang memakan masa seumur hidup. Selalunya ia akan diakhiri dengan mengharapkan pendekatan hedonis yang menyedut kebahagiaan jangka masa pendek secara berulang-ulang sehingga detik perkahwinan mereka yang diharap sebagai kebahagiaan agung, kemudian dilahirkan manusia-manusia yang tidak pernah minta untuk dilahirkan dan kitaran ini akan diteruskan. Dogma-dogma agama ditebarkan dari segenap pelosok kerajaan-kerajaan bumi tanpa mereka mahu menunjukkan apa itu kebenaran. Hasil campur dogma dan gaya hedonis inilah yang mendefinisikan kebahagiaan dan kebenaran majoriti umat manusia itu sendiri.

Sekelompok kecil yang lain pula tergapai-gapai mencari hakikat sebenar kehidupan ini, dan mengharapkan ia turun dari sisi Yang Agung. Tidak sekali-kali mereka berputus asa dari meneroka alam ini demi mencari pencerahan itu. Moga Tuhan Pemilik Kebenaran menerima doa mereka ini, dan membalas sesuai dengan KeadilanNya itu.

Bagaimana pula dengan planet ini? Saya yakin ia akan terus berputar di atas paksinya untuk jangka masa yang lama, kerana bumi ini sudah menghadapi kiamat sebanyak lima kali [sesuai dengan kajian sains terhadap sejarah bumi sepanjang 4.5 billion keadaannya] dan memusnahkan pelbagai spesies makhluk. Kiamat adalah tentang nasib manusia dan bukan nasib bumi. Maka sekali lagi aku bertanya kamu, apa makna kehidupan manusia ini? Benarkah Tuhan tidak pernah menghubungi kita melalui pencerahan meditasi para nabi-nabi dan wali-wali? Ingatlah yang kita tidak pernah minta dilahirkan. Mungkin tujuan kita dilahirkan adalah hanya untuk menemani ibu bapa kita yang mahukan kebahagiaan sejati.

1 comment:

  1. Pengembaraan yang sungguh hebat.. Terima kasih kerana berkongsi.. Teruskan ya..

    ReplyDelete