tSoS

tSoS

Saturday, April 12, 2014

Filem "her" dan kecemburuan

Amaran: Kalau kau bencikan spoilers, berhenti membaca.

///

Aku ingin menyentuh berkenaan dengan egosentrisme yang dimanifestasikan dengan fenomena kecemburuan. Di dalam filem, Theodore sangat-sangat kecewa apabila dia mengetahui yang Samantha (teman wanitanya yang merupakan sebuah kecerdasan buatan / artificial intelligence) juga boleh berkomunikasi dengan ribuan individu yang lain dan juga menjalani hubungan romantik dengan ratusan individu pada masa yang sama. Theodore merasakan yang dia tidak „memiliki“ Samantha atau mendapat perhatian yang sepenuhnya. Dia juga merasakan yang Samantha tidak mempunyai komitmen yang penuh dalam hubungan mereka. Tapi Samantha mempunyai kebolehan yang super-manusia. Dia mampu memberikan kasih sayang yang penuh kepada banyak individu sekali gus.

Di sini kita lihat manusia dalam psikologinya agak terbatas dan boleh juga dikatakan mementingkan diri sendiri. Jika Theodore ialah seorang yang benar-benar mementingkan kemaslahatan/kesejahteraan manusia, maka sepatutnya dia tidak ada masalah dengan apa yang dilakukan oleh Samantha. Tapi sebagai penonton, kita sukar untuk tidak bersimpati dengan Theodore, kerana kita mungkin akan mempunyai perasaan yang sama jika diletakkan dalam situasi tersebut.

Seperti kita tahu, kecemburuan ialah sesuatu yang banyak membawa kepada masalah. Ia menyebabkan kesakitan emosi (a.k.a. sakit hati) dan mengundang konflik di dalam sesuatu hubungan. Ia juga boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan dan melakukan sesuatu yang jenayah seperti mencederakan pasangan dan mungkin juga sampai ke tahap membunuh pasangan. Akan tetapi, kecemburuan juga boleh ditukarkan kepada sesuatu yang baik. Seorang yang didorong oleh kecemburuan boleh mengambilnya sebagai motivasi untuk memperbaik diri, sama ada dari sudut fizikal mahu pun dari sudut tingkah laku. Dari segi ini, sama ada respon seseorang itu terhadap kecemburuan ialah positif ataupun negatif bergantung kepada individu itu tersendiri.

Tapi dalam masa yang sama, persoalan yang lebih asas daripada itu boleh disentuh, iaitu sama ada kita perlu untuk mendefinisikan kejadian sebagai manusia dengan perasaan cemburu. Kita ialah satu spesis yang sedang mengalami perubahan. Evolusi ialah satu proses yang berterusan dan tidak berhenti pada satu spesimen yang "sempurna", kerana di sana tidak wujud satu-satunya spesis yang sempurna, akan tetapi hanyalah spesis yang optimum dalam suasananya yang semasa dan setempat. Kita ialah binatang. Kita ialah kordata (chordate). Kita ialah mamalia. Kita ialah beruk. Daripada cabang tertinggi dalam pokok filogenetik* yang mengklasifikasikan kehidupan, kita telah pun menjadi Kita. Cuma, Kita berubah mengikut zaman. Kita tidak sekadar berubah dari ciri-ciri fizikal yang boleh dilihat seperti daripada memiliki insang kepada memiliki paru-paru, bahkan juga dari segi psikologi. Dari segi kompleksiti emosi, kita telah banyak bertambah. Pasti apabila kita masih dalam fasa amfibia, kita tidak berkemampuan untuk mempunyai penghargaan yang mendalam tentang dengan keluasan alam semesta ini dan kekecilan dan ketidaksignifikans bumi di dalamnya, atau keindahan potensial yang mampu dihasilkan oleh getaran udara jika disusun dalam bentuk komposisi Mozart. Melihat ke masa lampau, aku pasti ramai yang akan bersetuju jika aku katakan yang kita pada hari ini mempunyai sofistikasi emosi yang tinggi. Dalam masa yang sama, peningkatan fakulti akal yang sama juga mengizinkan kita juga untuk mempunyai impuls-impuls negatif yang nenek moyang uniselular kita pada suatu masa dahulu tidak langsung boleh bayangkan, seperti perasaan kepuakan yang menyebabkan kita membenci dan mempunyai prejudis kepada mereka yang diidentifikasi sebagai „orang luar“, satu fenomena yang boleh dilabel sebagai tribalisme.

Tribalisme mungkin pernah membantu Kita untuk meneruskan kehidupan pada masa lampau, di mana mereka yang sangat agresif dalam mempertahankan kawasannya daripada pencoroboh asing yang berkemungkinan untuk mencuri sumber atau pasangan, akan mempunyai kebarangkalian untuk terus hidup (survive) yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang agak longgar dalam polisi ini. Tapi dalam dunia moden pada hari ini, kita tidak lagi memerlukan impuls yang primitif ini. Kita tahu untuk tidak mencuri hak mahupun isteri atau pasangan orang lain. Bahkan secara teorinya, jika kebolehan akal kita berkembang dengan cukup pantas yang mengizinkan kontemplasi moral yang ligat, boleh jadi kita akan mampu untuk melompat daripada fasa kebolehan intelek yang sangat asas kepada sofistikasi yang mencukupi, sehingga tidak perlu langsung mengalami zaman kewujudan tribalisme.



Tidak dapat dinafikan, penyingkiran tribalisme dari pendefinisian Kita telah memanfaatkan sangat ramai daripada kita. Perkara yang sama mungkin boleh juga dihujahkan yang impuls-impuls lain, termasuk kecemburuan. Boleh jadi, dengan ketidakwujudan perasaan cemburu, jumlah kebahagiaan yang dialami oleh spesis manusia akan jauh lebih banyak berbanding dengan jika kita mempunyai perasaan cemburu. Persoalannya ialah, adakah kita rela untuk membuang ciri-ciri ini untuk pergi ke satu tahap yang lebih tinggi? Mengetahui yang perubahan itu ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan di dalam alam semulajadi, pentingkah kita untuk kekal Kita seperti yang sekarang ini?

*Diedit daripada taksonomikal

Gambar: http://www.evolutionrevolution.eu/wp-content/uploads/strom-zivota.jpg

No comments:

Post a Comment