tSoS

tSoS

Sunday, November 9, 2014

Ritual yang mengeraskan hati, membekukan jiwa

Agama adalah perjalanan individu dalam mencari kebenaran, kebahagiaan, kesejahteraan, kejujuran.. Pendek kata, ianya adalah pengalaman peribadi mencari "Tuhan". Dalam perjalanan spiritual ini, hasilnya akan membuat seorang itu sedar akan potensi, kekuatan, kelemahan dan kesempurnaan diri-Nya sendiri. Dan golongan yang sedar ini tidak akan sesekali mengguna kekerasan untuk menindas sesama manusia mahupun pada haiwan atau pokok. Kerana kewujudan ini adalah sesuatu untuk di-hargai, di-rai, dan di-cintai. Adalah sangat mengarut untuk menganiaya diri sendiri atau makhluk lainya, kerana yang sebenarnya semua kejadian ini adalah sama sahaja. 

Tapi ianya berbeza sama sekali dengan organisasi agama. Adalah sangat mengarut untuk menginstitusikan agama.  Agama boleh dianologikan dengan cinta. Untuk cinta, kita perlu mengalaminya sendiri, jatuh cinta dan kemudian berekspresi daripada perasaan cinta itu. Kita tidak boleh wakilkan ulamak, paderi atau sami untuk menjalani cinta itu. Ianya harus dijalani dan dialami secara personal. 

Organisasi agama tidak lain tidak bukan, hanya platform untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa. Tak ubah seperti organisasi politik. Semakin ramai pengikut, semakin benar ajaran itu. Semakin benar ajaran itu, semakin berkuasalah mereka untuk menghukum dan menyesatkan golongan yang tidak bersefahaman. Ianya adalah pertarungan nombor demi ketamakan pada kuasa, dan wang. Ya, mudah sekali wakil-wakil Tuhan ini menggunakan agama untuk mengisi perut mereka dan mengisi full tank kereta mewahnya. Mereka melacurkan agama demi wang! 

Tapi tidak dinafikan organisasi agama itu boleh melahirkan orang yang 'baik'. Dengan ritual-ritual, syariat-syariat, undang-undang dan hukum yang diterapkan boleh membuat manusia menjadi lebih patuh. Tapi apa maksud menjadi baik? Apakah ritual-ritual itu benar-benar membuat kita menjadi insan yang sedar? Mereka yang diajar daripada kecil lagi untuk menundukkan diri dan patuh kepada undang-undang "Tuhan" yang dibuat oleh wakilnya itu, saling tidak ubah seperti haiwan yang di latih di Zoo. Mereka di diajar untuk mengikut arahan dan tidak melawan pada tuannya. Hasilnya agama telah melahirkan banyak manusia-manusia yang jinak dan pasif. Mereka menjadi aset untuk meneruskan legasi zombie yang akan sentiasa bersetuju dan menyokong apa sahaja tindakan tuan @ ulamak kesayangannya. 

Jadilah ritual-ritual yang dijalani seharian itu sebagai ritual kosong yang mengeraskan hati dan membekukan jiwa. Kita juga biasa dengar, manusia yang berdosa dan jahat pada masa silamnya ingin merubah menjadi lebih baik dan lebih 'beragama'. Penghijrahan mereka ini dimulakan dengan penghijrahan penampilan. Ketayap mula dipakai, serban mula dililit, tudung mula disarung, niqab menutup seluruh badan. Kemudian diikuti dengan ritual-ritual keagamaan yang dipaksa dan akhirnya menjadi rutin harian yang dibuat atas dasar ingin berubah menjadi lebih baik. Aku tidak judge atau menghukum golongan ini tetapi ia berlaku sebaliknya. 

Mereka yang berubah secara superficial ini lah yang cenderung untuk menghukum manusia lainnya. Bagi mereka, orang yang tidak beritual seperti mereka, tidak berpenampilan seperti mereka adalah orang yang berdosa. Sikap "Holier than thou" semakin menebal. Orang yang berdosa pada pandangan mereka sangatlah jijik dan wajar dijauhi. Kawan-kawan lama yang padanya masih bergelumangan dengan dosa itu dipandang rendah kononnya atas dasar kasihan. Tidakkah mereka sedar mereka memandang keji diri mereka yang lama dan memuja golongan yang dibencinya dahulu. Ini adalah kitaran alam yang begitu kelakar sekali! 

Jadi pada mereka yang merasakan telah ketemukan kebenaran, telah bertemu Tuhan, tapi menunjukkan sikap dan pemikiran yang egoistik, suka menghukum, mudah bangga diri, "Holier Than Thou", golongan ini harus duduk dan muhasabah kembali. Adakah benar apa yang kamu ketemui itu adalah kebenaran, atau ilusi yang bijak memerangkap manusia dalam kegelapan? Fikir-fikirkan, tenung-tenungkan dan rasa-rasakan. 

No comments:

Post a Comment