tSoS

tSoS

Sunday, April 20, 2014

Tujuan Hidup Seorang Freethinker

Sejujurnya, soalan seperti ini tidak lari dari mengusutkan pemikiranku. Mungkin aku tidak mampu memberi jawapan yang terbaik.  Lebih-lebih lagi, apabila mindset sudah berubah ke arah freethinker. Satu jawapan untuk sesuatu persoalan seperti ini sudah tidak mudah dijawab semudah abc. 

Kalau dulu ketika diriku masih beragama, mindaku ringan untuk menetapkan matlamat hidup di dunia ini. Aku selesa untuk menurut saja standard kehidupan majoriti masyarakat, di mana mereka hanya perlu menghabiskan sisa hidup dengan melahirkan generasi seterusnya agar hidup mereka tidak kosong. Paling menarik lagi, seseorang hanya perlu menjadi orang yang baik agar dapat hidup di syurga selama-lamanya. Aku agak kanak-kanak yang sudah dibrainwash dengan kisah dongeng syurga lebih fasih menjawab soalan mudah dan ringkas seperti ini. 

Dulu, ketika aku masih kecil, aku tidak mengenal apa erti kesunyian. Hidupku dikelilingi rakan-rakan sepermainan yang tidak menghakimi rakan-rakan yang lain dengan sewenang-wenangnya. Tidak pernah ku dihurung kemurungan dan keperitan walau sesaat. Hanya mungkin kesedihan atas perkara remeh temeh. Tidak ku duga kehidupan mereka yang dewasa bukanlah semudah yang pernah ku anggap ketika aku masih kecil. Lebih-lebih lagi apabila berubah pendirian kepada sesuatu yang 'against the world'. Yes, being a freethinker is me against the world. It's ride or die. Aku sendiri tak mampu menduga apa yang bakal menimpa atas keterbukaanku ini. Mungkin lopak-lopak jalanan yang telah ku lalui akan ku lalui sekali lagi. 

Indahnya hidup apabila manusia tidak perlu risau tentang masa depan mereka untuk jangka masa yang panjang. Aku hanya perlu fikirkan sesuatu untuk jangka masa yang pendek. Seperti menurut sahaja apa yang telah dijadualkan oleh mereka yang lebih dewasa. Itulah natijahnya agama yang jumud dan ortodoks. Ianya tak ubah seperti singkatnya pemikiran kanak-kanak tentang pemikiran masa depan jika dibandingkan dengan mereka yang sudah dewasa. Kanak-kanak hanya patuh dan tunduk kepada orang tua mereka. Jika dimarah untuk tidak berbuat sesuatu, maka patuhlah ia. Hendak masuk exam pun, soalan senang-senang sahaja. Kebanyakan jawab style abc. Tak perlu pening-pening jawab soalan yang kompleks dan memeningkan seperti mereka yang berada peringkat pengajian tinggi.

Bagi aku, soal mengapa hidup itu akan sentiasa dinamik jawapannya. Kalau untuk orang beragama, jawapan tipikal mereka selalu membosankanku. Aku pasti aku hidup bukan untuk merasa bosan. Kerana itu, aku berpaling tadah apabila tiada lagi nilai-nilai ilmiah dalam agama yang mencabar rationaliti manusia. Untuk mencari tujuan hidup, aku lebih suka bergantung kepada situasi perjalanan hidup semasa yang aku lalui. "Just go with the flow". Aku hidup mengikut rentak frekuensi lakaran kehidupan. Aku tidak berani membuat harapan yang tinggi untuk jangka masa yang panjang. Takut tergigit jari apabila harapan menjadi palsu. Aku hidup untuk hari ini dan akan terus mengisi kekosongan itu dengan apa-apa jua cara bermanfaat untuk memenuhinya. Sebagai seorang freethinker, saya terima seadanya nilai sekular di sekeliling kita sudah cukup mengimbangi keperluan seseorang manusia. Agama itu perlu atau tidak? Well, aku hanya mengharapkan mereka biarkan aku bebas dengan pendirianku sepertimana aku tidak pernah menghalang mereka berdiri dengan pendirian mereka.

Saturday, April 12, 2014

Mengapa Hidup?

Adakah makna dalam kehidupan manusia di muka bumi ini? Apabila kita merenung tentang hakikat kewujudan planet ini di dalam alam yang maha luas, dan tiadalah umat manusia mampu mengukur keluasannya. Golongan ateis pula menyedari nikmat kehidupan kerana diberi peluang untuk merasa takjub dengan alam yang diperintah oleh pelbagai hukum fizik yang sedikit-sebanyak merungkai misteri alam.

Kewujudan nyawa manusia itu pula ditandai oleh perkahwinan antara sel ovum dan sel sperma yang memenangi jutaan sperma-sperma yang lain. Adalah suatu kesyukuran terhadap peluang yang diberi ini dan janganlah kita meratapi hidup ini dengan kesedihan jikalau kita diberikan ujian kesengsaraan, kerana percayalah yang setiap peristiwa itu bisa mengajar kita untuk mengenali alam ini dengan lebih baik lagi yakni setiap peristiwa itu pasti ada hikmahnya.

Hayatilah kekerdilan kita di alam ini dengan jumlah planet-planet yang dianggarkan lebih banyak dari jumlah manusia di bumi itu sendiri. Kembali kepada persoalan asal pada baris pertama, ada eloknya kita melihat kembali teologi al-Quran tentang makna kehidupan manusia, kerana kita semua biasa mendengarnya dan membacanya. Manusia itu diciptakan untuk menjaga bumi ini. Andai pembaca adalah seorang yang hanya mengiktiraf pengetahuan sekular sekalipun, peranan ini masih boleh dihargai.

Lihatlah bumi yang makin tandus ini, digelumang dengan pelbagai dosa-dosa si kapitalis yang tidak pernah mengeluh dalam mengguna pakai segala sumber di planet ini. Pokok-pokok semakin kurang dan ruang-ruang semakin sedikit sesuai dengan kejayaan pengkilangan umat-umat manusia untuk menjadi kaum pekerja, semuanya untuk menggerakkan industri konsumerisme. Laut-laut pula semakin tercemar, dan lapisan atmosfera semakin menipis. Hilang sudahkah hubungan manusia dengan alam? Dimanakah rasa tanggungjawab itu? Mungkin tiada silapnya malaikat menganggap penciptaan manusia ini hanyalah sebuah bala bencana, sejenis spesies virus yang tiada gunanya kepada sekalian alam. Aku masih tidak dapat melihat janji Tuhan yang berfirman “Sesungguhnya Aku lebih mengetahui”. Aku melihat manusia itu sendiri yang mengusahakan kiamatnya sendiri.

Kebanyakan umat manusia hari ini lebih mementingkan kebahagiaan sendiri yang dianggap mereka sesuatu yang penting, walhal penerokaan terhadap makna kebahagiaan abadi itu adalah sesuatu yang memakan masa seumur hidup. Selalunya ia akan diakhiri dengan mengharapkan pendekatan hedonis yang menyedut kebahagiaan jangka masa pendek secara berulang-ulang sehingga detik perkahwinan mereka yang diharap sebagai kebahagiaan agung, kemudian dilahirkan manusia-manusia yang tidak pernah minta untuk dilahirkan dan kitaran ini akan diteruskan. Dogma-dogma agama ditebarkan dari segenap pelosok kerajaan-kerajaan bumi tanpa mereka mahu menunjukkan apa itu kebenaran. Hasil campur dogma dan gaya hedonis inilah yang mendefinisikan kebahagiaan dan kebenaran majoriti umat manusia itu sendiri.

Sekelompok kecil yang lain pula tergapai-gapai mencari hakikat sebenar kehidupan ini, dan mengharapkan ia turun dari sisi Yang Agung. Tidak sekali-kali mereka berputus asa dari meneroka alam ini demi mencari pencerahan itu. Moga Tuhan Pemilik Kebenaran menerima doa mereka ini, dan membalas sesuai dengan KeadilanNya itu.

Bagaimana pula dengan planet ini? Saya yakin ia akan terus berputar di atas paksinya untuk jangka masa yang lama, kerana bumi ini sudah menghadapi kiamat sebanyak lima kali [sesuai dengan kajian sains terhadap sejarah bumi sepanjang 4.5 billion keadaannya] dan memusnahkan pelbagai spesies makhluk. Kiamat adalah tentang nasib manusia dan bukan nasib bumi. Maka sekali lagi aku bertanya kamu, apa makna kehidupan manusia ini? Benarkah Tuhan tidak pernah menghubungi kita melalui pencerahan meditasi para nabi-nabi dan wali-wali? Ingatlah yang kita tidak pernah minta dilahirkan. Mungkin tujuan kita dilahirkan adalah hanya untuk menemani ibu bapa kita yang mahukan kebahagiaan sejati.

Filem "her" dan kecemburuan

Amaran: Kalau kau bencikan spoilers, berhenti membaca.

///

Aku ingin menyentuh berkenaan dengan egosentrisme yang dimanifestasikan dengan fenomena kecemburuan. Di dalam filem, Theodore sangat-sangat kecewa apabila dia mengetahui yang Samantha (teman wanitanya yang merupakan sebuah kecerdasan buatan / artificial intelligence) juga boleh berkomunikasi dengan ribuan individu yang lain dan juga menjalani hubungan romantik dengan ratusan individu pada masa yang sama. Theodore merasakan yang dia tidak „memiliki“ Samantha atau mendapat perhatian yang sepenuhnya. Dia juga merasakan yang Samantha tidak mempunyai komitmen yang penuh dalam hubungan mereka. Tapi Samantha mempunyai kebolehan yang super-manusia. Dia mampu memberikan kasih sayang yang penuh kepada banyak individu sekali gus.

Di sini kita lihat manusia dalam psikologinya agak terbatas dan boleh juga dikatakan mementingkan diri sendiri. Jika Theodore ialah seorang yang benar-benar mementingkan kemaslahatan/kesejahteraan manusia, maka sepatutnya dia tidak ada masalah dengan apa yang dilakukan oleh Samantha. Tapi sebagai penonton, kita sukar untuk tidak bersimpati dengan Theodore, kerana kita mungkin akan mempunyai perasaan yang sama jika diletakkan dalam situasi tersebut.

Seperti kita tahu, kecemburuan ialah sesuatu yang banyak membawa kepada masalah. Ia menyebabkan kesakitan emosi (a.k.a. sakit hati) dan mengundang konflik di dalam sesuatu hubungan. Ia juga boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar kawalan dan melakukan sesuatu yang jenayah seperti mencederakan pasangan dan mungkin juga sampai ke tahap membunuh pasangan. Akan tetapi, kecemburuan juga boleh ditukarkan kepada sesuatu yang baik. Seorang yang didorong oleh kecemburuan boleh mengambilnya sebagai motivasi untuk memperbaik diri, sama ada dari sudut fizikal mahu pun dari sudut tingkah laku. Dari segi ini, sama ada respon seseorang itu terhadap kecemburuan ialah positif ataupun negatif bergantung kepada individu itu tersendiri.

Tapi dalam masa yang sama, persoalan yang lebih asas daripada itu boleh disentuh, iaitu sama ada kita perlu untuk mendefinisikan kejadian sebagai manusia dengan perasaan cemburu. Kita ialah satu spesis yang sedang mengalami perubahan. Evolusi ialah satu proses yang berterusan dan tidak berhenti pada satu spesimen yang "sempurna", kerana di sana tidak wujud satu-satunya spesis yang sempurna, akan tetapi hanyalah spesis yang optimum dalam suasananya yang semasa dan setempat. Kita ialah binatang. Kita ialah kordata (chordate). Kita ialah mamalia. Kita ialah beruk. Daripada cabang tertinggi dalam pokok filogenetik* yang mengklasifikasikan kehidupan, kita telah pun menjadi Kita. Cuma, Kita berubah mengikut zaman. Kita tidak sekadar berubah dari ciri-ciri fizikal yang boleh dilihat seperti daripada memiliki insang kepada memiliki paru-paru, bahkan juga dari segi psikologi. Dari segi kompleksiti emosi, kita telah banyak bertambah. Pasti apabila kita masih dalam fasa amfibia, kita tidak berkemampuan untuk mempunyai penghargaan yang mendalam tentang dengan keluasan alam semesta ini dan kekecilan dan ketidaksignifikans bumi di dalamnya, atau keindahan potensial yang mampu dihasilkan oleh getaran udara jika disusun dalam bentuk komposisi Mozart. Melihat ke masa lampau, aku pasti ramai yang akan bersetuju jika aku katakan yang kita pada hari ini mempunyai sofistikasi emosi yang tinggi. Dalam masa yang sama, peningkatan fakulti akal yang sama juga mengizinkan kita juga untuk mempunyai impuls-impuls negatif yang nenek moyang uniselular kita pada suatu masa dahulu tidak langsung boleh bayangkan, seperti perasaan kepuakan yang menyebabkan kita membenci dan mempunyai prejudis kepada mereka yang diidentifikasi sebagai „orang luar“, satu fenomena yang boleh dilabel sebagai tribalisme.

Tribalisme mungkin pernah membantu Kita untuk meneruskan kehidupan pada masa lampau, di mana mereka yang sangat agresif dalam mempertahankan kawasannya daripada pencoroboh asing yang berkemungkinan untuk mencuri sumber atau pasangan, akan mempunyai kebarangkalian untuk terus hidup (survive) yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang agak longgar dalam polisi ini. Tapi dalam dunia moden pada hari ini, kita tidak lagi memerlukan impuls yang primitif ini. Kita tahu untuk tidak mencuri hak mahupun isteri atau pasangan orang lain. Bahkan secara teorinya, jika kebolehan akal kita berkembang dengan cukup pantas yang mengizinkan kontemplasi moral yang ligat, boleh jadi kita akan mampu untuk melompat daripada fasa kebolehan intelek yang sangat asas kepada sofistikasi yang mencukupi, sehingga tidak perlu langsung mengalami zaman kewujudan tribalisme.



Tidak dapat dinafikan, penyingkiran tribalisme dari pendefinisian Kita telah memanfaatkan sangat ramai daripada kita. Perkara yang sama mungkin boleh juga dihujahkan yang impuls-impuls lain, termasuk kecemburuan. Boleh jadi, dengan ketidakwujudan perasaan cemburu, jumlah kebahagiaan yang dialami oleh spesis manusia akan jauh lebih banyak berbanding dengan jika kita mempunyai perasaan cemburu. Persoalannya ialah, adakah kita rela untuk membuang ciri-ciri ini untuk pergi ke satu tahap yang lebih tinggi? Mengetahui yang perubahan itu ialah sesuatu yang tidak dapat dielakkan di dalam alam semulajadi, pentingkah kita untuk kekal Kita seperti yang sekarang ini?

*Diedit daripada taksonomikal

Gambar: http://www.evolutionrevolution.eu/wp-content/uploads/strom-zivota.jpg