tSoS

tSoS

Wednesday, November 19, 2014

Menjadi Ateis: Satu Langkah Menuju Kebenaran

Pengalaman aku pergi ke masjid, kuil dan tokong yang berlainan fahaman dan agama telah mengajar aku banyak perkara. Walaupun berlainan fahaman, tetapi dalam kepelbagaian itu terlalu banyak persamaan antara mereka. Agama telah wujud sejak sekian lama. Bermula dari mitos-mitos dan cerita kayangan yang bagi aku, mengkhayalkan. Di sini aku bersependapat dengan Karl Marx yang menyatakan agama itu candu. Manusia lebih mudah menerima cerita-cerita magis kerana dengan bahasa yang puitis itu kita menjadi terpesona akan keindahan cerita itu. Kita dihidangkan dengan cerita indah-indah dari langit yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan kitaran hidup kita.

Majoriti masyarakat memerlukan sebuah angan-angan, harapan, impian, atau dengan kata lain "Tuhan" untuk melupakan kehidupan yang penuh dengan kesengsaraan ini. Penat lelah mencari makan, perit-getir dalam menjalani hidup di adukan pada Tuhan untuk melepaskan segala penat lelah. Perasaan risau gundah gulana akan musibah yang ditakuti menimpa suatu hari nanti di redakan dengan sikap kebergantungan pada tuhan yang berada di kuil-kuil, di tokong-tokong atau di masjid. Manusia jadi bergantung pada entiti yang lebih besar, yang tidak terjangkau oleh akal logiknya untuk meredakan keresahan dalam menjalani kehidupan seharian. 

Atas dasar iman ini juga manusia menjadi takut untuk berbuat dosa kerana risau dengan kejahatan yang dilakukan akan menjauhkan dirinya dengan Tuhan. Ini adalah kekuatan dan aspek postif dalam agama yang tidak dapat ditandingi oleh ideologi yang lain. Sesetengah manusia memerlukan kepercayaan pada syurga dan neraka untuk menghalang mereka dari berbuat jahat. Seolah-olah jika ditarik kepercayaan ini, mereka bertukar menjadi binatang yang bebas berbuat apa pun. 

Tapi zaman berlalu, manusia sentiasa berkembang dan pemikiran mereka berevolusi seiring dengan  kemajuan lahiriah. Sebagai contoh negara maju seperti Sweden, majoriti penduduknya tidak beragama. Negara scandanivian itu sangat prihatin terhadap hak-hak kemanusian. Mereka sangat mengambil berat akan hak-hak asasi seperti perubatan, pendidikan, kebajikan dan lain-lain.  Mereka tidak memerlukan panduan agama untuk menentukan apa yang baik dan adil untuk menjamin kesejahteraan sejagat. Berbanding dengan negara mundur, kebanyakannya dikuasai dan dipelopori oleh institusi agama. Tapi itu tidak membuatkan negara itu menjadi lebih maju tetapi menjadi sebaliknya.  Jadi ini menimbulkan persoalan, adakah kemajuan peradaban manusia menidakkan kebenaran agama itu sendiri? Adakah agama membantutkan pemikiran manusia? 

Golongan bijak pandai, yang mampu berfikir secara kritis dan rasional cenderung untuk menjadi ateis. Keberadaan Tuhan itu tidak dapat ditampilkan dengan bukti yang kukuh. Ketidakpercayaan pada tuhan ini membebaskan mereka dari pemikiran yang menyekat dan membelenggu dalam kehidupan seharian. Doktrin agama adalah umpama penjara minda yang menyekat manusia untuk berfikir lebih jauh lagi. Sebagai bukti, agama kristian pada waktu dahulu banyak menyekat saintis-saintis pada waktu itu kerana penemuan saintifik itu boleh menggugat doktrin agama itu sendiri. Penemuan dan eksplorasi yang baharu itu bisa menidakkan kitab-kitab yang diimani institusi agama itu dengan bukti sainstifik yang lebih rasional. 

Manusia itu adalah pengembara yang bisa mengeksplorasi dunia dengan sifat ingin tahu yang wujud sejak azali.. Jadi syabas diucapkan pada mereka yang bisa memecahkan doktrin agama yang menyekat mereka untuk berfikir lebih jauh lagi. Tetapi adakah pembebasan dari cengkaman agama itu membuat kamu menjadi manusia yang lebih berguna? Adakah kamu bisa mencapai ketenangan dalam hidup? Jika tiada Tuhan, jadi hidup ini untuk apa? 

Aku tak percaya pada preaching dan bagi aku manusia boleh percaya apa pun yang mereka mahu. Tapi sekuat mana pun kepercayaan kamu, itu tidak menjadikan sesuatu itu benar. Kebenaran adalah sesuatu yang sangat personal dan perlu di gali, dirasai sendiri. Tetapi tidak bermakna kebenaran itu sesuatu yang relatif, melainkan ia merupakan sesuatu yang sangat universal dan kita semua berkongsi kebenaran yang sama. 

--Akan bersambung--